Rehlah Tarbawi

Iman dan ukhwah adalah dua nikmat maknawi yang tidak boleh dibeli oleh sesiapa pun. Itulah iman dan cinta kerana Allah. Ia adalah satu kemuliaan yang diberikan oleh Allah. Dan nikmat ini datang bila kita yang memulakannya.

Tidak akan ada orang yang bisa merampasnya daripada kita. Ini kerana Allah yang telah menautkan hati-hati kita. Seperti mana kalam Allah, “

“Dan Dialah (Allah) yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu menginfakkan semua (kekayaan) yang ada di bumi, nescaya kamu tidakkan akan dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah lah yang telah mempersatukan hati mereka, Sungguh dia Maha Perkasa Maha Bijaksana” [Al-Anfal, 8: 63]

Rehlah ini adalah salah satu wadah atau pun program yang bisa menguatkan tautan hati kita. Sesungguhnya kita keluar ini dalam kerangka hanya kerana Allah s.w.t. Dengan ini bertambahlah iman kepada Allah. Dan iman itu bertingkat seiring dengan amal kita.

Kita tautkan di dalam rumah Allah dan menambahkan cinta hanya kerana Allah. Dan ukhwah kita meningkat kerana pertemuan-pertemuan seperti ini. Maka haruslah kita bersyukur/berterima kasih kerana Allah yang telah memberikan nikmat ini. Berterima kasih juga pada mereka yang memulakan dan juga mereka yang memberi respon yang baik pada kita.

Ini kerana dua nikmat yang diberikan oleh Allah adalah satu kemuliaan pada kita. Ini adalah kekuatan yang datang hanya daripada Allah s.w.t.. Iman dan ukhwah adalah kekuatan untuk jalan ini. Jalan dakwah inilah sumber kekuatan.

Maka para ikhwah akhwat peliharalah nikmat ini. Saya ucapkan tahniah pada sesiapa sahaja yang melibatkan diri dalam rehlah pada kali ini. Saya dan isteri serta keluarga berasa sangat gembira. In Syaa Allah saya akan menerima untuk datang lagi sekiranya antum menjemput saya lagi. Semoga Allah memberkati antum kerana memulakan nikmat ini, pada zuriat antum, keluarga dan seluruhnya. Dan saya mendoakan juga semoga Allah sentiasa menghimpunkan kita pada kebaikan dan jadikanlah perpisahan ini yang diberkati Allah.

Syeikh Mohamed Hamed Eliwa, 17th May 2015.
-Rehlah Tarbawi Ikram Sepang 2015, Bukit Ekspo, UPM.

(Kata-kata ini ditaip sambil mendengar terjemahan bahasa melayu daripada bahasa arab. Kemungkinan dan keberangkalian untuk tidak persis seperti yang diungkapkan oleh muwajih juga besar bagi penulis. Semoga Allah memberkati. Sebar-sebarkan wahai akh, ukht.)

Iman dan ukhwah itu saling berkait rapat. Begitulah rapatnya iman dan ukhuwwah seperti isi kepada kuku kita.

Kita telah bertemu atas dasar ukhwah yang jelas dan ukhwah yang didasarkan pada keimanan yang kuat. Sebagaimana kita menjaga ukhwah ini adalah sangat berkait rapat dengan bagaimana menjaga iman kita iaitu menjaga hubungan kita dengan Allah.

“Sungguh, orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, kelak (Allah) Yang Maha Pengasih akan menanamkan rasa kasih sayang (dalam hati mereka)” [Maryam 19: 96]

Dengan menyeru kita untuk beriman terlebih dahulu dan mengerjakan kebajikan, kemudian  Allah akan menanamkan rasa kasih sayang pada hati-hati yang sama-sama beriman padaNya.

Urusan untuk menautkan hati dan menanamkan rasa cinta ini hanyalah urusan Allah. Hanya Allah yang mampu mencampakkan rasa kasih dan sayang dalam hati hambanya seperti mana yang dilafazkan oleh syeikh Hamid seperti di atas. Kita tidak punya daya dan kuasa untuk menautkan dan menanamkan bibit ukhwah atas iman. Namun kita diseru untuk memulakan, nikmat iman dan ukhwah hanya wujud bila kita yang memulakannya yakni mewujudkan kasih sayang. Sebagai contoh bertukar-tukar hadiah, melakukan aktiviti bersama-sama, menjamu makan bersama ikhwah dan para syuyukh pakcik-pakcik mahupun adik-adik kecil dan sebagainya.

      “Berilah hadiah sesama kamu, pasti kamu akan berkasih sayang.”

Imam Hasan Al Banna pula mengatakan, “Yang saya maksudkan dengan ukhwah adalah terikatnya hati dan ruhani dengan ikatan aqidah. Aqidah adalah sekukuh-kukuh ikatan dan semulia-mulianya. Ukhwah adalah saudaranya keimanan, sedangkan perpecahan adalah saudara kembarnya kekufuran. Kekuatan yang pertama adalah kekuatan kesatuan; tidak ada kesatuan tanpa cinta kasih; minima cinta kasih adalah kelapangan dada dan maksimanya adalah itsar(mementingkan orang lain dari diri sendiri).” – majmuah rasail.

Leave a comment